Mencermati Dr Burhanuddin Al Helmy dalam Mendepani Retorika Politik Sempit di Malaysia

Kerajaan semasa masih menyeru kepada retorik perkauman untuk merebut dan mengekalkan kekuasaan mereka. Orang Cina dan orang India sering dianggap seteru dalam pembangunan dan persaingan oleh pemerintah semasa berideologi warisan kolonial, untuk mewujudkan perselisihan dan pertembungan kaum yang mundur. Perancangan dasar pemerintah dengan membahagi-bahagikan etnik dan kelas yang seterusnya mengekalkan sistem ketidaksamaan.

Tanggapan dan interpretasi perkauman sempit ini adalah mengelirukan, memecah-belahkan masyarakat, kurang konsisten dan mudah diramal. Lantas, ia meningkatkan insiden perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia serta menjadi penghalang kepada pembinaan etnik yang bersepadu iaitu cita-cita bangsa Malaysia yang sering dilaung-laungkan, kini dihadirkan pula dengan slogan inklusif baru β€œKeluarga Malaysia” yang dicemari kemunafikan.

Melihat kepada peranan Dr Burhanuddin Al Helmy sebagai seorang ideolog Melayu, usahanya dalam proses autonomi, diiringi dengan gagasan β€œMelayu Raya”, pengoperasian intelektualisme memainkan peranan progresif dalam pencapaian sintesis dialektik tempatan dan hal ini memiliki relavansinya dengan konotasi politik semasa.

Cita-cita pembudayaan β€œperasaan identiti nasional” dengan mendamaikan perbezaan dan mencapai beberapa bentuk keseimbangan, sudah lama sebenarnya diiltizamkan oleh para tokoh-tokoh pejuang yang sebenar-benarnya lebih ikhlas, semisal Al Helmy.

Dr Burhanuddin Al Helmy merupakan seorang pemimpin parti Melayu berhaluan kiri yang terkemuka, menyarankan agar setiap kaum (bangsa) di Tanah Melayu dapat disatukan menjadi satu kewarganegaraan (kewarganegaraan) Melayu. Bagi β€œmemadam” perpecahan dalam masyarakat, visi bangsa Melayu bersatu, harus disemai dalam pemikiran masyarakat pada ketika itu, demi melawan dan dan menentang apa yang dilihatnya sebagai kuasa elit β€œfeudal” dan β€œkapitalisme kolonial”.

Dalam rumusan ini, menurut visi Al Helmy, kelompok yang berpegang kepada bahasa, nilai dan budaya Melayu akan menjadi anggota kewarganegaraan Melayu. Sisi pandang yang sama turut dikongsi rakan seperjuangan Al Helmy, seorang jurnalis dan sosialis Ibrahim Yaacob, menggambarkan seluruh nusantara sebagai β€œMelayu”.

Al Helmy juga berkongsi kerisauan terpentingnya seperti Abdullah Munshi terhadap nasib bangsa Melayu dimana beliau terus membuat banyak cadangan tentang cara mereformasi orang Melayu dengan memberi amaran bahawa negara ini berisiko diperintah oleh bangsa lain.

Kini, masyarakat kita turut akan menghadapi kolonisasi pemikiran walaupun dikatakan sudah mengecapi kemerdekaan daripada tatanan penjajah. Budaya individualisme & hierarki dalam sistem pendidikan adalah seumpama alat penjajahan minda totalitarian politik dan kapitalis. Lalu penyakit β€˜minda tertawan’ (captive mind) menyerapi masyarakat dan menjauhkan mereka daripada wacana kritikal dan konteks moral serta gagal untuk memahami keadaan masyarakat yang ketinggalan dari serba serbi.

Slogan tidak akan memupuk keharmonian dalam masyarakat berbilang budaya; sebaliknya, tindakan ikhlas untuk memastikan semua rakyat Malaysia dilayan sama rata dan bermaruah akan berbuat demikian.

Oleh yang demikian, keikhlasan Dr Burhanuddin Al Helmy dan angkatan seperjuangannya harus dijejaki semula melalui wacana-wacana yang kritikal dan analisis kepada satu perubahan dan reformasi pendidikan menerusi sistem institusi sedia ada seperti sekolah dan universiti harus dilakukan dengan kadar segera.

Hanyasanya, dengan merdekanya fikiran, rantai belenggu yang selama ini mengheret kita ke arah hal yang tidak sepatutnya, akhirnya mampu menyatukan kita melawan semula musuh yang sebenar-benarnya yang menyangka mereka selamanya di atas, akan ditumbangkan oleh insan-insan pembawa panji keadilan dan keberanian sejati.

Di atas robohan kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu padu segenap baka
Untuk membela tanah pusaka

--

--

π˜Ύπ™–π™‘π™‘ 𝙀𝙛 𝙅π™ͺπ™¨π™©π™žπ™˜π™š

A practitioner of political science and communication. Committed to fostering the societyβ€˜s critical awareness towards human rights and social justice.